Thursday, November 25, 2010

Heart Crime Scene Investigations (HCSI) by Usrah algebree


-adaptasi dari kisah benar...


Case 1:

Mak Cik Temah adalah seorang pengunjung tegar majlis-majlis ilmu yang diadakan di kariahnya. Dia juga merupakan ahli masjid yang setia dan akan sentiasa teruja untuk mendalami ilmu agama. Mak Cik Temah mempunyai sebuah kedai runcit yang agak laris jualannya. Boleh dikatakan daripada pandangan kasar, kehidupan Mak Cik Temah berada di bawah lingkungan Rahmat Allah. Tetapi Mak Cik Temah menghadapi satu masalah yang besar iaitu hatinya agak keras dan sukar untuk mendengar nasihat orang lain. Pernah satu ketika, Mak Cik Temah bertengkar dengan suaminya sehingga suaminya hampir-hampir menetaknya, tetapi Mak Cik Temah tetap berdegil dan tidak juga berganjak dari tempatnya. Alhamdulillah, mujur suaminya tersedar apabila anak mereka menjerit memanggil namanya. Peristiwa itu membuatkan anak mereka membesar dengan satu perasaan rendah diri, takut dan tidak percaya diri. Bincangkan.


Case 2:

Rina adalah seorang wanita muda yang berkhidmat sebagai tukang urut di sebuah spa di Seremban. Rina gemar berpakaian seksi tetapi bukanlah dengan tujuan untuk menjual dirinya kepada para pelanggannya. Rina juga seorang yang peramah dan disukai oleh pelanggannya. Hasil dari sikapnya itu, Rina dicemburui oleh sahabatnya yang lalu mengenakan sihir untuk menjatuhkannya. Rina sakit untuk beberapa waktu sehinggalah Allah telah menyembuhkannya melalui khidmat seorang hamba Allah. Walaupun Rina mengetahui penyakit yang dihadapinya itu berpunca dari sahabat karibnya, dia tetap memaafkan dan mengabaikan tindakan sahabatnya itu. Selain itu, Rina juga pernah melihat kalimah 99 nama Allah bertebaran di langit di bulan Ramadhan ketika dia kemalangan di Johor. Dia juga melihat kelibat sayap malaikat yang telah menyelamatkannya dari kemalangan yang dahsyat itu. Sejak itu, Rina sentiasa berfikir tentang peringatan yang telah Allah berikan dan dia menyimpan niat untuk mengubah dirinya. Bincangkan.


Case 3:

Pak Leman adalah seorang lelaki yang warak. Dia telah berkahwin dengan seorang cina mualaf. Pak Leman selalu mengisi dirinya dengan ilmu-ilmu agama. Atas sifat dan sikapnya yang sentiasa dahagakan ilmu, dia selalu mengembara dan mencari guru-guru untuk menambah ilmu di dadanya. Dia turut mempelajari ilmu batin. Dalam kesibukan dirinya mencari ilmu, dia terlupa tanggungjawab pada isteri dan anak-anaknya. Satu ketika, isterinya baru sahaja melahirkan anak bongsu mereka. Dalam waktu berpantang, Pak Leman telah mengurung isterinya di dalam rumah. Dalam keadaan lemah, isterinya telah mengalami tekanan psikologi yang hebat sehingga dia terlupa untuk menguruskan anaknya yang baru lahir. Anaknya dibiarkan dalam kelaparan, lampinnya tidak dibersihkan dan dikurung dalam tempat yang gelap. Kini, Pak Leman telahpun meninggal dunia, tetapi hasilnya dia telah meninggalkan bawaan ilmunya (jin) yang menjadi saka pada anak-anaknya hasil dari ilmu yang dituntutnya. Huraikan.

Case 4:

Kamal adalah seorang pemuda yang gemarkan hiburan. Di mana ada hiburan, di situ ada dia. Kehidupan sosial sudah menjadi satu kebiasaan baginya. Arak, judi dan hiburan lagha adalah teman karibnya. Tidak pernah terdetik di hatinya untuk berubah. Baginya, kehidupannya adalah kenikmatan dunia. Tetapi, Allah berkehendakkan untuk dia berubah. Kamal mula merasakan dirinya kosong. Satu demi satu musibah berlaku padanya. Kemalangan yang hampir membawa maut, kekayaannya yang diragut serta-merta, pengkhianatan kawannya dan perceraian membuatkan dirinya jatuh sejatuh-jatuhnya. Di saat itu, dia mencari sesuatu untuk mengisi jiwanya yang kosong itu. Lalu,

Allah memasukkan ketenangan dalam jiwanya dan menganugerahinya dengan kebolehan mengubati orang. Hasil dari kebolehan itu, ramai orang ‘so call alim’ cemburu dan mempertikaikan ilmu yang Kamal ada. Kini, Kamal sudah semakin kuat, dia tidak mempedulikan cercaan demi cercaan yang diberikan kepadanya, kerana di matanya kini hanya satu, Allah…Huraikan.

3 comments:

  1. Salam.. wat la ulasan cket.. nnti bleh post kt blog algebree plak. nti mizah bg password blog tu.

    ReplyDelete
  2. Wah, sejak jadi kaunselor keluarga ni, semakin mantap, berilah jalan penyelesaian kes di atas untuk entri yang akan datang iya.

    ReplyDelete
  3. wa'alaikumussalam...
    Little muslimah: Insya4jj1...
    Putra Rman: Penyelesaian lebih kepada individu yang menilai itu sendiri...Sy lebih suka jika yang membaca itu menilai sebab penilaian yg saya buat mungkin terbatas dalam kotak fikiran dan pengalaman saya sahaja...Tapi, insya4jj1 saya add up huraian sikit nanti...terima kasih...

    ReplyDelete